KENAPA PERLU PADAMKAN NAMA BANK PADA GERAN HARTANAH SELEPAS SELESAI BAYARAN PENUH PINJAMAN PERUMAHAN?
******
Ini adalah posting susulan dari posting saya sebelum ini.. "APA NAK KENA BUAT SELEPAS ANDA SELESAIKAN PINJAMAN LOAN RUMAH”.
Di sini saya nyatakan kepentingan kenapa pemilik hartanah perlu menghapuskan rekod nama Bank di dalam Geran atau Hakmilik tanah mereka.
Contoh Kes:
· Pemilik Hartanah membeli sebuah rumah melalui pinjaman Bank A dan telah selesai membuat pembayaran penuh.
· Bank A telah menutup akaun peminjam dan kembalikan Geran Asal kepada Pemilik berserta arahan untuk segera menyelesaikan urusan Melepaskan Gadaian (“Discharge of Charge”)
· Pemilik hanya buat tak tahu kerana merasakan urusan ini tidak penting kerana pinjaman telah pun selesai. Bank bukan ada hak pun lagi ke atas rumah ini. Makanya Pemilik hanya menyimpan Geran Asal tersebut dan tidak membuat lantikan peguam untuk menguruskan urusan Melepaskan Gadaian.
Rekod Bank A masih lagi ada tertera pada Geran Hartanah
· 5 tahun kemudian Pemilik ingin menjual rumah tersebut dan telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pembeli baru.
Kita lihat kepada 2 keadaan yang mungkin berlaku dalam keadaan kes di atas, iaitu:
Situasi 1:
. Bank A telah ditutup dan tidak beroperasi. Dah tak wujud!
· Rekod Pinjaman pada Hakmilik masih di bawah nama Bank A dan belum dipadamkan. Jadi dengan siapa Pemilik nak berurusan?
Segeralah lantik Peguam. Peguam akan uruskan.
· Dalam keadaan ini urusan melepaskan gadaian akan mengalami kelewatan kerana Peguam perlu memastikan kepada pihak mana hak/fail Bank A telah dipindahkan.
Selepas siasatan dibuat Peguam telah pastikan bahawa hak/fail Bank A telah dipindahkan kepada Bank B. Maka Peguam perlu berurusan dengan Bank B bagi mengakses semula rekod Bank A. Biasanya Bank B akan mempunyai beberapa SOP yang perlu diikuti dan akan mengambil masa untuk mereka berbuat demikian. Tambahan pula melalui rekod Bank A, akaun Pemilik telah ditutup dan dokumen berkaitan telah diserahkan kepada Pemilik.
· Sila ambil maklum bahawa yuran pendaftaran bagi melepaskan gadaian dalam keadaan ini juga akan bertambah di pihak Pemilik kerana terdapatnya dokumen tambahan yang perlu didaftarkan di pejabat tanah.
Situasi 2:
· Pemilik tidak dapat mencari Geran Asal Hakmilik. Geran Asal telah hilang dalam simpanan Pemilik.
· Pemilik perlu terlebih dahulu membuat permohonan di Pejabat Tanah yang berkaitan bagi mendapatkan Geran Baru/Ganti (termasuklah membuat polis repot dan dll) Belum diambil kira masa yang terbuang bagi membuat urusan ini.
· Untuk mendapatkan Geran Baru/Ganti, Pemilik perlu mengeluarkan kos tambahan untuk lantikan peguam dan juga perlu membayar yuran-yuran tambahan yang berkaitan kepada Pejabat Tanah. Aduh, kos lagi!!
Dalam kedua-dua situasi di atas secara tidak langsung akan melibatkan kelewatan dalam proses jualan rumah Pemilik kepada pembeli baru.
Oleh itu, apabila selesai pinjaman rumah anda, segeralah lantik peguam untuk uruskan proses ini supaya tiada masalah timbul dikemudian hari dan dapat juga mengelakkan kos-kos tambahan yang tidak diperlukan. Jadilah pemilik hartanah yang bijak.

Murni Zabiri
#PeguamHartanah
#Murni&Co
****
Untuk baca artikel asal, boleh KLIK DI SINI ya.