Tahniah kepada kawan-kawan yang mengundi untuk Ubah.
Setelah 60 tahun BN membentuk kerajaan di Malaysia, kali ni, ia beralih kepada Pakatan Harapan pula.
Saya kira, sekarang ni chanel Astro Awani adalah chanel tv kegemaran kita kan...
Melihat, mendengar, memperhalusi perjalanan 100 hari pertama Pakatan memerintah negara kita yang tercinta ini.
Sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan, 1MDB adalah agenda utama untuk dikaji dan disiasat.
Beberapa agensi lain seperti Tabung Haji, Felda dan pembelian terus oleh agensi kerajaan menjadi agenda penting kabinet baru Malaysia.
Projek mega seperti ECRL, HSR, Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia juga akan dikaji semula dari segi kemampuan negara, terma pinjaman, jangkaan pulangan pelaburan dan sebagainya.
Tun M juga telah mengumumkan bahawa negara kini mempunyai hutang berjumlah 1 trillion.
Wowww.. Kata Astro Awani, jumlah hutang ni sama dengan membina 1000 buah KLCC.
Pergh...
Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hutang ini termasuk suntikan dana (bail out) kerajaan dalam projek 1MDB.
Katanya, "Kementerian Kewangan (MoF) telah membayar pelbagai tuntutan kewangan yang dikenakan ke atas 1MDB sejak April 2017. Pembayaran tersebut kini berjumlah RM6.98 bilion. Sebanyak RM954 juta lagi perlu dibayar sebelum akhir tahun ini."
Namun begitu, bekas PM kita, Dato Seri Najib Razak menafikan. Beliau mengatakan adalah salah memanggil pembayaran-pembayaran ini sebagai bail out.
Jadi LGE menjawab semula dengan kenyataan media ini.
Baik,
sebagai pelabur hartanah dan real estate negotiator, saya tertarik dengan fakta bahawa
1. Kerajaan menjual tanah persekutuan kepada 1MDB dengan harga yang sangat sangat sangat murah.
a. 70 ekar tanah TRX dengan harga cuma Rm74 persqft, berjumlah RM230 juta
b. 486 ekar tanah Bandar Malaysia pada harga cuma RM72 per sqft, berjumlah RM 1.6 billion.
Itu kerajaan jual, 1MDB beli murah.
Ada lagi.
2. Kerajaan iaitu MOF melalui anak syarikatnya Aroma Teraju Sdn Bhd membeli pula sebidang tanah yang cuma 2.6 ekar (bersamaan 113,256 sqft) pada harga RM2,207 per sqft berjumlah RM250 juta.
3. 1MDB menjual sebidang tanah kepada Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta iaitu rm2750 per sqft pada April 2015
4. 1MDB menjual satu bidang tanah kepada Affin Bank, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera LTAT pada harga RM255 juta iaitu RM4680 per sqft pada Ogos 2015
Kemudian 1MDB pun buat lah beberapa aktiviti lagi yang boleh kita baca dalam Executive Summary yang boleh dibaca di laman web Kementerian Kewangan. Saya lihat, ia berupa gali lubang tutup lubang.
******
Baik, saya tertarik di sini pada harga tanah yang 1MDB beli dari kerajaan dan jual balik.
Bagi saya, harga ini sangat tidak munasabah.
Sebagai pembandingan, mari kita lihat harga tanah di sekitar Tun Razak Exchange yang ada dalam rekod transaksi.
Gudang berhampiran Berjaya Times Square di Jalan Imbi dijual dengan harga RM302 persqft
Unit retail di Berjaya Times Square dijual pada purata harga RM1899 persqft
Tanah untuk pembangunan di Jalan Pudu Lama dijual pada harga RM908 persqft
Tanah untuk pembangunan di Lorong Yap Kwan Seng, off Jalan Tun Razak dijual pada harga RM949 per sqft
*****
Melihat kepada harga per sqft tanah dan projek pembangunan sekitar Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia, adakah patut kerajaan Malaysia pada masa itu menjual tanah kepada 1MDB dengan harga cuma RM72-74 per sqft?
Bukankah ini merugikan negara? Menjual terlalu rendah dari harga pasaran pada keadaan negara tidak sangat terdesak untuk menjual tanah?
Dan melihat kepada harga pasaran ini juga, bukankah sangat tidak bijak Tabung Haji dan Affin Bank membeli tanah dengan harga Rm2750 dan RM4680 yang terlalu mahal dan terlalu tinggi berbanding harga pasaran tanah berhampiran?
Mustahil bank dan tabung haji buta mengenai strategi pelaburan. Beli pada harga below market atau pada harga pasaran. Bukan beli pada harga berganda lebih tinggi dari pasaran.
Isunya bukan duit gaji Pengerusi atau Lembaga Pengarah Tabung Haji atau Affin Bank yang digunakan untuk membeli tanah mahal berganda ni.
Tapi mereka menggunakan duit pendeposit.
Orang macam kita yang simpan duit di sana... duit tu digunakan untuk membeli tanah dengan strategi pelaburan yang kurang bijak.
Nampak tak game ini direka untuk menguntungkan 1MDB semata-mata?
***
Kalau sebegitu teruk strategi pelaburan yang Tabung Haji lakukan, patutlah Pengerusi Tabung Haji sebelum ni sendiri tak percaya untuk simpan duit dalam Tabung Haji. sebaliknya simpan duit dalam bag di rumah sahaja.