19 Oktober 2012

Kupasan Prinsip Asas dalam Sistem Kewangan dan Perbankan Islam

Hari Rabu lepas saya menghadiri Seminar Pengurusan Harta dalam Islam.
Seminar ni anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.
Diadakan di Bangunan B1 Jabatan Perdana Menteri.

Ada 3 tajuk pembentangan pada hari itu yang ketiga-tiga speakernya memang sangat hebat.

Pembentangan pertama: Prinsip Asas dalam Sistem Kewangan dan Perbankan Islam.

Tajuk ini dibentangkan oleh Prof Madya Dr, Mohamad Akram Laldin, Pengarah Eksekutif ISRA



Antara perkara penting yang dikongsikan oleh Prof Madya ini adalah:

1) Perbankan islam bermula di Malaysia apabila Tabung Haji ditubuhkan pada tahun 1962. Kemudian pada tahun 1963, sebuah bank islam kecil yang bermodelkan bank simpanan Jerman dibuka namun kemudiannya ditutup pada tahun 1967.

Namun bank islam moden yang pertama di dunia ditubuhkan di Jeddah iaitu Dubai Islamic Bank, dicetuskan dari idea Tunku Abdul Rahman dna dipersetujui oleh negara-negara islam yang lain.

Bank islam moden yang pertama di Malaysia adalah Bank Islam pada tahun 1983.


2) Prinsip asas kewangan islam adalah kebebasan untuk berkontrak (freedom to enter into contract) dan kepatuhan syariah (syariah compliant).


3) Teori asas kontrak dalam islam:

Harta hanya boleh berpindah dari satu pihak ke pihak lain melalui satu kontrak atau aqad yang sempurna dan sahih. Ia mesti bersumberkan hukum dari al-Quran dan Sunnah serta mestilah kedua-dua pihak redha dan setuju dengan terma kontrak itu.


3) Kontrak kewangan Islam mestilah:

- diredhai dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan bebas dari unsur penipuan, paksaan, kesilapan, penyelewangan dan gharar (yang samar-samar atau ketidakpastian).
- mestilah bebas dari perkara yang diharamkan iaitu riba, gharar, maisir (unsur perjudian) dan lain-lain.
-objektif kontrak adalah mengikut syarie.


4) Beza perbankan islam dan perbankan konvensional

Perbankan konvensional berasaskan satu pihak mendepositkan wang dengan pulangan faedah, dan satu pihak lagi memberi pinjaman dengan caj faedah.
pendeposit mendepositkan wang ke bank, bank pinjamkan kepada pelanggan dan caj interest 5 - 10% sebagai contoh, dan pulangkan 1 - 3% interest tu kepada pendeposit semula.  baki interest adalah kepunyaan bank.

Tapi bagi perbankan islam pula, dana diperoleh dari 2 sumber.
- deposit berasaskan mudharabah iaitu berkongsi untung atau rugi dengan bank atas satu kadar pemodal dan pengusaha
- deposit berasaskan wadiah (simpanan) yang berkemungkinan mendapat hibah jika bank mendapat keuntungan.

Wang itu diniagakan melalui kontrak-kontrak seperti kontrak niaga, kontrak pelaburan, kontrak sokongan dan kontrak tabarru'.
asas di sini adalah kontrak jual beli. maka keuntungan adalah dari harga jualan, bukan dari kadar faedah.


5) Perbankan islam di malaysia asalnya adalah berdasarkan konsep Bai' Inah iaitu konsep jual dan beli semula.

contoh: A ingin membeli rumah dari developer B dengan harga RM100K. A memohon pembiayaan dari bank C.
Maka Bank C membeli rumah itu dari Bank B dengan harga RM100K dan menjualnya semula kepada A dengan harga RM 250K setelah mengambil kira bayaran balik selama 25 tahun.

di sini muncul masalah apabila A gagal membuat bayaran, A perlu membayar amaun RM 250K iaitu harga yang bank B jual kepadanya.

ini menimbulkan kontroversi dah pernah dibawa ke mahkamah. Pelanggan menang.

Lantaran itu, kini perbankan islam kini telah meninggalkan amalan ini dan bertukar ke konsep Bai' Bithaman Ajil.

konsep inilah yang banyak wujud sekarang iaitu kadar margin keuntungan yang dpersetujui bersama dan ia dihadkan pada kadar maksima (caps rate) namun bayaran bulanannya bergantung pada kadar BFR.
Caps rate ini merupakan satu point menarik kepada peminjam kerana ia menghadkan satu kadar maksima BFR.

contoh: caps rate kebanyakan bank sekarang adalah 9.99%.
maka, jika kadar BFR melonjak ke 12% seperti pada tahun 1997/ 1998 dahulu pun, bank tetap akan mengambil kira kadar 9.99% sahaja.

Di Timur Tengah, perbankan islam di sana menggunakan konsep tawarruq iaitu jual beli melibatkan 3 pihak, bukan 2 pihak.
Mutawarriq atau A membeli satu barangan dari penjual B secara bayaran bertangguh dan kemudiannya A menjual semula barang itu kepada C dengan harga yang lebih rendah untuk mendapatkan wang tunai.

Pening? ok mari kita rujuk gambarajah di bawah dan contoh ini.



Katakan dalam pembiayaan pinjaman rumah, pelanggan A ingin membeli kondominium berharga rm200K dari pemaju B.
kemudian A akan memohon pembiayaan dari bank C.

Apa yang bank C akan lakukan adalah, bank C akan menghubungi penjual barang, katakan barangan elektrik D untuk membeli barangan elektrik darinya bernilai RM 200k.
kemudian bank C akan menjualkan barang elektrik itu kepada A dengan harga RM 350K secara bayaran bertangguh.

A kini mempunyai barang elektrik, akan terus menjualnya semula kepada D dengan harga RM200K tunai.
A kini mempunyai tunai dan tunai itu akan digunakan untuk membayar harga kondominium secara tunai ke pemaju B.
dan A kini juga mempunyai kontrak membayar harga barangan elektrik dari bank C secara bertangguh dan perlu membayarnya setiap bulan.

Pengalaman saya membuat pinjaman dengan Al-Rajhi, kali pertama saya perlu membeli susu manis dalam tin dari bank sebanyak RM 180K. kemudian saya terus menjualnya kepada seorang peniaga.
kali kedua saya perlu membeli milo dalam tin bernilai RM 204K dan juga menjualnya semula.
semuanya dilakukan di dalam telefon sahaja.


6) Salah faham orang awam terhadap perbankan islam adalah, dikatakan perbankan islam turut cuba mendapatkan keuntungan yang tinggi sama seperti riba di dalam bank konvensional.
Sebenarnya, pembiayaan islam adalah dari konsep jual beli dengan pelanggan atas satu harga dan margin keuntungan yang telah dipersetujui bersama.

Di dalam bank konvesional, kita tak nampak kan pada akhir bayaran nanti, berapa sebenarnya amaun yang kita akan bayar untuk satu-satu rumah.
kita hanya nampak kadar bayaran akan naik turun mengikut BLR, tapi soalnya, akhirnya kita bayar berapa?
bank pun tidak dapat memberi jawapan yang tepat kerana ia akan mengikut keadaan ekonomi semasa.

Tapi di dalam pembiayaan islam, oleh kerana dah ada caps rate tadi, kita dah tahu berapa harga jualan rumah tusebenarnya.
Cuma disebabkan kadar BFR semasa, bank akan memberi rebet kepada kita setiap hari atau setiap bulan.
Jadi, pada akhirnya, kita akan membayar harga yang kurang dari harga jualan tadi.

Harus diingat, islam tidak meletakkan had pada kadar keutungan dari aktiviti jual-beli.
Keuntungan yang diperoleh ini, bank akan kongsikan pula dengan pemegang deposit tadi.

Cukup di sini dulu untuk kali ini.
saya akan sambung dengan tajuk pembentangan seterusnya pula.

2 ulasan:

Unknown berkata...

telah memulakan langkah berhijrah dari kovensional ke islamik bank...

Rohaniah Noor berkata...

khairul fauzee, alhamdulillah.. satu penghijrahan yang sangat baik.